06 Ogos 2009

Pemandu lori mengaku tidak bersalah sebabkan kematian lima beranak

MARAN - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, terhadap tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lima sekeluarga.
R Kumaresan, 39, dari Rantau, Negeri Sembilan, dituduh melakukan kesalahan itu di Kilometer 77 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini pada 1.30 tengah hari 26 Julai lalu.
Dalam kejadian itu, Nasaruddin Abdul Aziz, 33, isterinya Fatmawati Harun, 30, ibu mentuanya, Sepiah Mohamad, 60, adik iparnya, Mohd Syakirin Harun, 23, dan anaknya Muhammad Nazhif Iman, 10 bulan, dari Felda Jengka 5 di sini, yang menaiki sebuah kereta Perodua Kenari mati di tempat kejadian selepas dipercayai dirempuh treler yang membawa tong gas kosong.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10,000 sekiranya disabitkan kesalahan.
Kumaresan yang dibawa ke mahkamah di atas pengusung kerana mengalami patah kaki kiri serta patah dua tulang rusuk kanan dalam kemalangan itu, memahami pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, sebelum mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Pendakwaan dijalankan oleh Insp Mohd Fazli Sulaiman manakala Kumaresan tidak diwakili peguam.
Majistret Nurulnaim Abdullah mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin setelah Kumaresan merayu dengan alasan dia mempunyai empat orang anak manakala isterinya sedang mengandung enam bulan dan tidak bekerja. Nurulnaim juga mengarahkan agar lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula, tertuduh membayar wang jaminan tersebut. - Bernama ( Copypaste dari Sinar Harian )

Tiada ulasan: